Perkembangan Bayi Usia 8 Bulan

29 Mac 2016 anak mak dah makin besar dan mencapai umur 8 bulan. Meh timang-timang sikit anak mak. Apakah tingkah laku bayi ketika umur 8 bulan. Jom ketahui tanda-tanda perkembangan bayi di usia 8 bulan.

Perkembangan Bayi Usia 8 Bulan
1. Bayi sudah boleh duduk, merangkak dan berdiri
Bayi usia 8 bulan sudah boleh duduk dengan baik tanpa dibantu. Dia juga sudah mula merangkak ke sana sini. Bayi juga berusaha untuk berdiri sambil berpegang dan berpaut pada almari rendah, kerusi dan meja. Pastikan rumah selamat untuk bayi. Alihkan objek yang mudah pecah ke tempat lain, lantai yang bersih untuk bayi merangkak dan buat halangan di bahagian tangga rumah untuk keselamatan bayi.

2. Kemahiran menggunakan tangan
Bayi akan cuba mencari objek yang telah jatuh dan menggunakan jari telunjuknya untuk menunjuk ke arah objek itu. Kini, bayi juga mahir menggunakan jari jemarinya untuk mengaut sekeping makanan dan menggenggamnya dengan jari yang tertutup rapat, dan dia juga telah belajar membuka tangan dan jari-jemarinya secara sedar untuk menjatuhkan atau melontar objek.

3. Sifat bayi semakin emosional
Bayi 8 bulan akan belajar memahami dan meniru emosi tertentu dan mungkin akan menunjukkan cetusan empatinya yang pertama. Contohnya, jika dia melihat seseorang menangis, dia juga mungkin akan mula menangis.

4. Bayi gelisah apabila berpisah dengan ibunya
Bayi sudah mula menunjukkan tanda-tanda kebimbangan jika berpisah dengan ibunya. Sebelum meninggalkan bayi, ciumlah dan peluklah dia dan beritahunya bahawa kita akan kembali. Jika dia takut atau terus bersusah hati, ambil masa yang lebih lama untuk tenangkannya dan meyakinkan dia.

Gambar Bayi Usia 8 Bulan
Perkembangan bayi usia 8 bulan, cara mendidik anak ketika usia bayi 8 bulan, tingkah laku bayi umur 8 bulan, panduan mengajar anak ketika masih bayi, gambar bayi usia 8 bulan, bila usia bayi sudah boleh duduk sendiri, merangkak dan berdiri

Cara Mendidik Anak Ketika Usia Bayi 8 Bulan
1. Sifat ingin tahu dan meneroka sesuatu objek
Bayi 8 bulan akan meneroka objek dengan menggoncang, menghempas dan menjatuhkan objek, termasuklah mengunyah objek tersebut. Sediakan tempat atau bilik di mana terdapat banyak barang yang bayi boleh membaling, memicit, menggoncang, menjatuhkan mainan dan mengutip semula mainan yang bertaburan di bilik tersebut. Bayi suka melihat benda-benda jatuh, kemudian dipungut dan dibaling semula. Bayi mendapati perbuatan ini menarik dan mahu melihatnya berulang kali.

2. Bayi memahami hubung kait objek
Bayi mula faham bagaimana suatu objek berhubung kait dengan objek yang lain. Contohnya, benda yang lebih kecil boleh muat ke dalam benda yang lebih besar. Bayi mudah mencari barang yang kita sembunyikan, dan dia akan menunjuk kepada gambar yang betul yang disuruh cari. Dan untuk beberapa bulan yang seterusnya, bayi akan mula menggunakan objek secara tepat seperti menyikat rambut, minum dari cawan dan membebel dengan menggunakan telefon mainannya. Sentiasa libatkan diri dalam aktiviti permainan anak-anak. Pastinya mencipta suatu keseronokan.

3. Penglihatan bayi semakin baik
Bayi 8 bulan, penglihatannya kini hampir sama seperti orang dewasa dari segi kejelasan dan persepsi kedalaman. Walaupun penglihatan jarak dekatnya masih lebih sempurna daripada jarak jauhnya, penglihatannya sudah cukup baik untuk mengenali orang dan mengenali objek. Apabila berjalan, tunjukkan sesuatu barang dan memberitahu nama barang tersebut agar bayi dengan mudah mengenali nama-nama barang tersebut. Itulah sebahagian proses pembelajarannya.
Perkembangan bayi usia 8 bulan, cara mendidik anak ketika usia bayi 8 bulan, tingkah laku bayi umur 8 bulan, panduan mengajar anak ketika masih bayi, gambar bayi usia 8 bulan, bila usia bayi sudah boleh duduk sendiri, merangkak dan berdiri
Foto perkembangan bayi anak anda di usia 0 bulan - 12 bulan

Tahniah! Kini bayi anda sudah pun berumur 8 bulan. Kenali anak anda dengan mengetahui perkembangan bayi di usia 8 bulan. Berikan sokongan dan galakkan kepada mereka sepenuhnya. Moga bayi dan anak anda, membesar dengan sihat. Ambil bahagian dalam mendidik anak-anak di rumah. Moga menjadi ibu bapa terbaik kepada bayi comel anda.

No comments:

Post a Comment